Kalau anda ingat, saya pernah menceritakan dalam entry kedua saya mengenai diri saya didiagnos dengan penyakit hepatitis B carrier. Waktu itu, dunia memang terasa kelam. Walaupun saya mndapat tahu berita ini pada tahun 2006, setelah habis medical check-up untuk masuk ke Kolej Mara Banting, tapi ketika itu saya hanya menganggap perkara ini bukan masalah besar memandangkan saya hanyalah carrier kepada penyakit tersebut, bukan acute.
Tapi selepas saya mendapat tahu permohonan visa ke New Zealand saya gagal kerana masalah penyakit tersebut, saya berasa sangat sedih. Ketika inilah dunia saya gelap, betul-betul gelap. Semua impian saya untuk belajar di luar negara musnah dalam masa yang sangat singkat. Tapi alhamdulillah, Allah masih beri peluang kepada saya dengan tawara twinning program di Sheffield.
Tiba di Sheffield, saya bertemu dengan seorang senior pelajar tahun akhir perubatan, saudara Mas Afzal. Orangnya sangat baik, dihormati dan boleh dianggap sebagai seorang abang kepada semua pelajar di Sheffield. Ketika akhir tahun 2008 ketika semua orang sedang sibuk dengan persediaan peperiksaan, Mas Afzal mendapat berita dia menghidap lmyphoma, suatu kanser yg sudah berada di tahap ketiga. Ramai pelajar terkejut. Waktu itu, saya rasa betul-betul ditempelak dengan berita Mas Afzal. Di saat saya pernah berasa sangat malang dengan penyakit saya, masih ada yang jauh kurang bernasib baik daripada diri saya.
Tidak ingin saya bandingkan saya dengan Mas Afzal, dia jauh lebih hebat daripada saya. Ibarat langit dan bumi. Cuma saya nak ajak kita renung apa reaksi kita bila Allah datangkan dengan ujian. Saya bukanlah seorang yang sangat rapat dengan Mas. Tapi banyak yang saya pelajari daripada kisah dia. Pertamanya ialah syukur dengan ketentuan Allah. Ramai antara kita selalu mendegar frasa “perancangan Allah itu lebih baik daripada perancangan manusia” tapi berapa ramai yang betul-betul percaya dengan perancangan Allah. Terus terang saya cakap saya gagal ketika Allah uji dengan masalah visa tersebut kerana saya memang berputus asa dengan impian menyambung pelajaran ke luar negara. Bila kita berputus asa, ertinya kita memutuskan hubungan kita dengan Allah sebab itu berputus asa adalah sesuatu yang tidak baik.
Kedua, saya belajar erti menghargai nikmat yang Allah berikan. Semua orang tahu mengenai lima nikmat yang Allah berikan iaitu sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan seterusnya. Siapa tahu mungkin sekarang penyakit saya di tahap carrier tapi tidak mustahil penyakit ini boleh menjadi lebih serius (na’uzubillahi min zaalik). Suatu peluang untuk muhasabah diri saya sendiri.
Buat saudara Mas Afzal, saya ucapkan selamat maju jaya dalam menghadapi ujian yang Allah berikan kepada saudara. Anda seorang yang tabah dan merupakan inspirasi kepada semua pelajar di Sheffield. Saya pasti ujian ini adalah tanda kasih Allah kepada saudara dan saya percaya dengan janji Allah yang akan mengganjarkan hambanya yang taat dengan nikmat yang sangat besar, pengakhiran yang baik di sisi Allah.
Kepada rakan-rakan lain, kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya diringankan kesusahan saudara Mas Afzal. Jika setiap hari semua orang berdoa, iAllah sekurang-kurangnya akan ada satu doa yang akan sampai kepada Allah. Ujian Allah itu tidak mengenal hambanya, sebagaimana hidayah Allah itu tidak mengenal hambanya. Fikir-fikirkan.
